Telur adalah antara jantung pemakanan orang Malaysia. Sup, mee, nasi, kek, kuih, ayam goreng, semuanya mengandungi telur!
Dalam pembuatan kek saya tak mungkin dapat hasilkan kek yang sedap tanpa telur. Di dapur Hanna Mahat Cakes, kami memecah, memukul ratusan telur seminggu dan akan bertambah di masa akan datang.
Bagi kami memilih telur yang berkualiti sangat penting. Kami berpegang pada prinsip yang telur yang berkualiti tidak semestinya telur yang besar. Orang kata Gred A. Ayam yang dijaga dengan baik tanpa dipaksa-paksa untuk bertelur biasanya akan menghasilkan telur Gred B atau C. Cuba tengok ayam kampung. Telurnya putih, kecil molek sahaja saiznya. Tapi bila dipecahkan kuning telur bukan main besar lagi. Tanda si ibu ayam yang sihat.
Bagaimana telur digunakan?
Dalam satu-satu resipi kek biasaya 2-4 biji telur akan digunakan. Kandungan telur yang berprotein membolehkan tepung, gula, minyak melekat dan mengunci poket-poket udara. Inilah yang menyebabkan kek naik, set dan tidak mendap.Senang cerit tiada dapur yang tidak menggunakan telur!
Tips:
- Jangan tinggalkan telur yang sudah dipukul terlalu lama. Sekali sudah dipukul, telur boleh kehilangan udara yang terkumpul semasa proses memukul tadi. Akibatnya kek boleh menjadi mendap dan tidak naik. Pastikan anda menyediakan bahan-bahan segera, dan memastikan oven sedia untuk digunakan bila adunan siap.
- Sangat-sangat penting untuk menggunakan bekas yang bebas dari minyak untuk memukul telur kepada meringue. Sebarang minyak atau lemak akan menghalang telur dari kembang bila dipukul.
- Jika anda selalu mengasingkan kulit telur yang tak sengaja termasuk dalam adunan, saya cadangkan anda pecahkan telur dalam mangkuk berasingan. Dengan cara ini pasti kek anda bebas kulit telur. Bayangkan tetamu anda menjamah sekeping kek anda dan merasakan sesuatu yang keras rangup. Ew.
- Telur adalah terbaik digunakan pada suhu bilik untuk memudahkan proses kimia menggabungkan komponen-komponen bahan terikat. Keluarkan telur dari peti sejuk sejam sebelum digunakan.
- Jauhkan telur dari bau yang kuat seperti bawang, pencuci baju dan sebagainya. Cadangan saya simpan sahaja telur dalam kartun originalnya yang direka khas bukan sahaja untuk melindungi telur bahkan untuk menyerap bau kuat dari sekeliling.
Semoga bermanfaat!
No comments:
Post a Comment